Tuesday, April 13, 2010

Memperkasakan Diri

Y.A B Perdana Menteri dalam ucaptamanya sewaktu Invest Malaysia pada 28 mac 2010 yang lalu menyeru kaum wanita supaya meningkatkan keupayaan dengan memperkasakan modal intelektual seiring dengan proses perubahan negara kearah model ekonomi baru yang lebih berasaskan pengetahuan. (sumber : Berita Harian Online)



Kaum wanita sememangnya pandai, tapi entah kenapa kita masih ketinggalan dari banyak segi berbanding kaum lelaki. Di dalam sektor kerajaan juga, walaupun kita mengisi sekitar 60% perjawatan yang ada, tidak ramai yang berada di peringkat pengurusan atasan.



Adakah wanita memang tidak mampu?. Pada pandangan saya, kita bukannya tidak mampu tetapi kita seringkali mempunyai banyak kekangan. Antara keluarga dan mengejar cita-cita, ramai yang sanggup melepaskan cita-cita kerana tidak mahu keluarga tidak terurus.



Kita sebenarnya tidak perlu melihat jauh untuk bersetuju dengan kekangan di atas. Anak saya selalu bertanya, memandangkan ayahnya (suami) sering pulang lewat, tidakkah saya juga mahu pulang lewat untuk bekerja dan mencari wang?. Saya menjawab, jika saya juga pulang lewat, dia akan terabai dan saya tidak akan ada waktu untuk dia. Tidak akan ada yang dapat menghantar dan mengambilnya daripada kelas tambahan atau kelas renang yang amat diminatinya.



Sungguhpun begitu, saya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperbaiki diri. Malah, keseronokan belajar/mencari ilmu itu lebih dirasai bila anak ada bersama. Saya rasa lebih senang mengingati apa yang dibaca jika pada waktu yang sama saya menemani anak menonton atau bermain di taman. Keseronokan belajar yang ada dalam diri saya juga menyebabkan anak tiada masalah untuk melupakan siri kartun di Astro tanpa banyak masalah.



Kekangan keluarga yang ada juga membuatkan saya memilih untuk mempelajari perkara yang tidak memerlukan saya berjauhan dengan anak. Saya percaya, ilmu yang sedang dipelajari akan banyak membantu dalam usaha memjadi seorang yang bebas dan berjaya.

Apa yang penting, kita memperbaiki diri. Mungkin tidak untuk negara tapi untuk diri sendiri dan keluarga.

No comments:

Post a Comment