Nama emak Mriati binti Idris. Mak bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi. Malah, mak sebenarnya tak pernah pergi sekolah pun. Tapi bukan sebab mak tak pandai, cuma keadaan pada masa mak dilahirkan yang menyebabkan arwh mbah lanang tak hantar mak ke sekolah.
Mak anak sulung daripada 9 orang adik-beradik. Tiga perempuan, 6 lelaki. Kalau diikutkan dalam kad pengenalan mak, tahun ini mak akan berumur 72 tahun. Aku langsung tak pernah tengok surat beranak mak sebab surat beranak tu dah hilang lama dulu masa zaman penjajahan Jepun.
Menurut cerita mak, mak dah dikahwinkan dengan bapak masa mak umur 12 tahun lagi. Masa tu apalah sangat yang mak tau. Dia kata, masa awal-awal kahwin dulu, bapak la yang masak sebab mak masih main pondok-pondok je masa tu. Mungkin sebab berkahwin pada usia yang sangat muda, mak telah melahirkan anak seramai 12 orang untuk bapak. Hebat kan?. Boleh dapat satu pasukan bola sepak.
Aku merupakan anak yang kesepuluh. Ramainya abang dan kakak aku. Tapi seronok juga bila punya adik-beradik yang ramai ni. Bila tiba musim perayaan, rumah mak di kampung memang tak pernah sunyi dengan anak-anaknya.
Mak bukan anak orang kaya, juga tidak berpelajaran tinggi. Kalau artikel ni tak dibacakan kepada mak, mak tak akan tahu sebab mak seorang yang buta huruf. Yang dia tahu baca cuma Al Quran. Itupun sebab mak belajar dengan tok guru di kampung. Tapi mak sangat istimewa sebab dengan segala kekurangan yang ada mak berjaya membesarkan kami semua dengan baik.
Setiap kali ada cuti yang panjang, hati rasa meronta-ronta nak balik ke kampung sebab nak jumpa mak. Selain daripada dapat tengok pokok-pokok rambutan yang sudah seusia dengan aku, tentulah air tangan mak sewaktu menyediakan hidangan tak dapat dilupakan. Walaupun mak masak cuma setakat campak-campak dan tanpa bahan-bahan yang mewah, hidangan yang mak sediakan tetap nombor satu. Rasanya tak sabar nak makan nasi lemak yang mak masak.
Masa bapak pergi dulu mak memang sangat terasa kehilangan. Walaupun bapak dah terlantar sakit tak boleh bekerja sejak aku berumur 15 tahun, mak tetap setia. Mak langsung tak boleh tengok kerusi roda yang bapak gunakan sebab setiap kali nampak, mesti mak teringat. Sepekara lagi yang buat mak tak boleh lupa adalah sebab sejak bapak tiada, jam loceng mak dah takde juga. Dulu masa bapak masih ada terutamanya masa bulan puasa, bapak akan kejutkan mak untuk bangun memasak sebab bapak tak suka makan nasi dan lauk yang dah sejuk. Mak pulak dengan rela hatinya bangun untuk masak untuk bapak walaupun bapak lepas kejutkan mak, dia masuk tidur semula sampai mak kejutkan untuk bangun sahur. Kalaulah aku boleh jadi seperti mak.
Setiap hari, mak akan pergi menoreh di kebun getah belakang rumah. Kami yang masih kecil pada masa itu, tak berani nak menoreh sebab takut pisau rosak. Apa yang dapat dilakukan adalah dengan menemankan mak sambil mengutip getah sekerap. Bau busuk jangan cerita lah, hanya yang pernah rasa sahaja yang tau. Apa yang menariknya bila mengikut mak pergi menoreh adalah bila mak keluarkan bekal makanan yang di bawa. Terasa enaknya makanan walaupun lauk yang ada cuma ikan bilis dan sayur-sayuran sahaja.
Lepas tingkatan lima, kami pun dah tak susah macam dulu. Kelapa sawit yang bapak tanam dah mula mengeluarkan hasil, jadi mak ada pendapatan yang lebih baik. Bapak pulak masih macam tu juga, selepas kena serangan jantung, dia memang dah tak sihat dan duduk dirumah sahaja.
Sejak dah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri, kami selalu juga mengajak mak tinggal bersama-sama. Tapi, mak masih ada kehidupannya sendiri, masih ada ayam dengan kucing yang perlu diberi makan setiap hari. Masih ada kawan-kawan kelas mengaji yang dah berjanji nak belajar sama-sama. Masih juga ada jemputan-jemputan perkahwinan dan sesi-sesi rewang dan beramah mesra sambil menganyam ketupat yang perlu dipenuhi. Life mak bukan di KL bersenang lenang menunggu hidangan disediakan didepan mata.
Mak, life is incomplete without you. Walaupun banyak yang aku tak sependapat dengan mak, mak tetap mak yang tiada gantinya.
Terima kasih mak.
No comments:
Post a Comment